FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki yang mengalami masalah mental maut selepas dipercayai terjun dari tingkat empat pusat beli-belah Suria KLCC, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.52 petang.

"Hasil siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terjun dari tingkat empat bangunan berkenaan.

"Mangsa berusia 25 tahun didapati mempunyai kad rawatan psikiatrik dari Hospital Klang berdasarkan kepada dokumen yang dijumpai di dalam beg galas yang disandangnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipanggil dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat Mangsa dibawa ke HKL untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:51 PM