MAYAT mangsa yang maut selepas membakar dirinya dan terjun dari tingkat 17 di sebuah pangsapuri di Taman Sri Rampai, malam kelmarin.
MAYAT mangsa yang maut selepas membakar dirinya dan terjun dari tingkat 17 di sebuah pangsapuri di Taman Sri Rampai, malam kelmarin.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Aksi tidak ubah seperti pelakon lagak ngeri apabila seorang lelaki sengaja membakar tubuhnya menggunakan petrol sebelum terjun dari tingkat 17 sebuah pangsapuri.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, mangsa berusia 30-an ditemui maut dalam keadaan tubuhnya masih terbakar di kawasan tempat letak kenderaan di Taman Sri Rampai.

Seorang saksi kejadian yang juga pengawal keselamatan di pangsapuri itu berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki terbabit memasuki kawasan pangsapuri itu berjalan kaki sambil membawa beg sandang.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar, 30, berkata, lelaki itu kemudian menaiki tingkat 17 pangsapuri menggunakan tangga.

“Lelaki itu kemudian mencurahkan badannya dengan minyak petrol sebelum menyalakan api.

“Dalam keadaan terbakar, lelaki itu kemudian terjun dari tingkat atas pangsapuri ini menyebabkan dia mati serta-merta,” katanya.

Menurutnya, identiti lelaki itu gagal dikenal pasti berikutan mangsa bukan penghuni pangsapuri itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.12 malam sebelum 16 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dalam keadaan 80 peratus terbakar dan disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Azizan, pemeriksaan lanjut oleh anggota bomba menemui kesan terbakar di kaki lima tingkat 17 pangsapuri itu.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa yang tidak membawa sebarang pengenalan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 9:32 AM