Mohd Nasif Badruddin

Menarik mengenai Maahad al-Ehya Asshariff yang dibangunkan Ustaz Abu Bakar al-Baqir pada 1934 di Gunung Semanggol, Perak, ia kini dipimpin oleh cucunya, Ustaz Ahmad Jahid Mamduh Shahar Murshid, 46, sebagai Pengetua yang juga bekas pelajar sekolah itu pada 1980-an.

Bermula dengan sistem pondok yang memberi pendidikan agama berteraskan kitab turath kepada penduduk sekitar, ia melalui banyak transformasi terutama daripada sistem pembelajaran mengikut peredaran zaman, malah menjadi pondok dan sekolah agama terawal negara yang mengguna pakai sistem peperiksaan awam apabila ia diperkenalkan kerajaan pada 1950-an.

Pada 1960-an pula, sekolah ini turut memperkenalkan kelas kemahiran seperti memasak, menjahit dan pertukangan kepada pelajarnya sebagai alternatif kepada pelajar yang kurang berjaya dalam akademik sebagai persediaan menempuh kehidupan selepas tamat belajar.

Menurut Ustaz Ahmad Jahid Mamduh, ketika awal penubuhan dan zaman kegemilangannya pada 1980-an, Maahad al-Ehya Asshariff bukan saja menerima pelajar dari Malaysia, malah turut menjadi pilihan pelajar Brunei, Indonesia dan Singapura sehingga mencecah 1,500 pelajar.

Katanya, seiring perkembangan pendidikan moden, Maahad al-Ehya Asshariff yang diuruskan sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR) kemudiannya memasuki aliran perdana sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dengan nama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad al-Ehya Asshariff pada 2006.

“Walaupun menjadi SABK, kami masih lagi mengekalkan beberapa tradisi seperti menitikberatkan pengajian agama dan sahsiah serta mempunyai jemaah pentadbir di bawah Yayasan Maahad al-Ehya Asshariff yang ditubuhkan pada 1990-an.

“Sehingga kini, kita mempunyai lebih 500 pelajar dari tingkatan satu hingga enam rendah dan 50 guru dari pelbagai latar belakang akademik termasuk lulusan universiti luar negara,” katanya.

Beliau berkata, selain belajar akademik seperti sekolah harian, pelajar di SMA Maahad al-Ehya Asshariff turut mengikuti Kurikulum Berasaskan Dini (KBD) yang diselaraskan kerajaan kepada SABK seluruh negara yang melayakkan mereka untuk mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir atau setaraf dengannya.

Katanya, pihaknya tidak meletakkan syarat tertentu seperti sekolah berasrama penuh lain kerana tujuan utama penubuhan Maahad al-Ehya Asshariff seperti diceritakan datuknya ialah memberi pendidikan untuk semua.

“Sekolah adalah tempat untuk memanusiakan individu dan mendidik mereka menjadi orang berguna kepada semua lapisan masyarakat.

“Apabila tiada syarat akademik minimum, maka pencapaiannya agak turun naik seperti sekolah harian dan tidak setanding sekolah agama berasrama penuh lain,” katanya.

Begitupun katanya, sekolah itu cemerlang dalam bidang sukan dan kokurikulum apabila pelajarnya sering menjadi wakil daerah dan negeri untuk bersaing di peringkat kebangsaan dalam pertandingan memanah, silat olahraga, bola baling dan robotik.

Menurutnya, kebanyakan pelajar sekolah itu tinggal di asrama dan mereka bebas mengikuti pelbagai aktiviti kokurikulum disediakan selain diwajibkan mengikuti aktiviti keagamaan seperti solat berjemaah, mengaji al-Quran dan pelbagai lagi.

Katanya, biarpun berbeza pengurusan dan melalui pelbagai peralihan sistem pengajian, Maahad al-Ehya Asshariff tetap mengekalkan matlamatnya untuk memandaikan anak bangsa dan menyediakan mereka sebaik mungkin untuk berdepan cabaran luar.

“Saya berpegang teguh kepada amanat untuk menampung keciciran pelajar. Sekolah ini memberi peluang kepada pelajar yang gagal mendapat tempat di sekolah lain untuk meneruskan pengajian mereka di sini.

“Apa yang penting juga, kita mahu terapkan pengajian agama sebagai asas kepada ilmu lain dan apabila pelajar faham agama, mereka akan mudah belajar perkara lain,” katanya.

Ustaz Ahmad Jahid Mamduh berkata, meskipun beralih pentadbiran, ramai bekas pelajar dan masyarakat terus membantu membangunkan prasarana dan kebajikan sekolah yang pernah melahirkan beberapa nama besar di negara ini seperti Penasihat Syariah Bank Islam Dr Ahmad Shahbari @ Sobri Solomon, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Ustaz Ahmad Awang serta ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 3:51 AM
AHMAD Jahid
AHMAD Jahid
GAMBAR lama tenaga pengajar bersama pelajar maahad.
GAMBAR lama tenaga pengajar bersama pelajar maahad.
AKTIVITI pembelajaran di dalam kelas di Maahad al-Ehya Asshariff.
AKTIVITI pembelajaran di dalam kelas di Maahad al-Ehya Asshariff.
BANGUNAN lama dan baru di Ma'ahad Al Ehya Asshariff, Gunung Semanggol Kerian, Perak.
BANGUNAN lama dan baru di Ma'ahad Al Ehya Asshariff, Gunung Semanggol Kerian, Perak.