Penganjur Bazar Ramadan Masjid Umar Ibnu Al Khattab, Bayan Baru mengambil inisiatif dengan memberi nombor giliran kepada pengunjung bagi mengelakkan kesesakan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Penganjur Bazar Ramadan Masjid Umar Ibnu Al Khattab, Bayan Baru mengambil inisiatif dengan memberi nombor giliran kepada pengunjung bagi mengelakkan kesesakan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Penganjur Bazar Ramadan Masjid Ibnu Umar Al-Khattab Bayan Baru di sini, mengambil inisiatif menyediakan kad nombor giliran bagi mengelakkan kesesakan.

Namun, tinjauan mendapati terdapat segelintir pengunjung melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menyusup masuk tanpa melakukan pengambilan suhu.

Penganjur, Taufik Mat Tajuddin berkata, sebanyak 120 kad nombor giliran diberi kepada pengunjung yang datang ke bazar itu pada satu-satu masa.

Katanya, inisiatif itu dilakukan berikutan kunjungan kira-kira 10,000 orang pada hari pertama Ramadan sekali gus tidak menjangka menerima kunjungan seramai itu.

"Ada yang beratur melebihi tiga jam sepanjang 50 meter bahagian kiri dan kanan jalan dari pintu masuk, malah tidak kurang juga yang pulang kerana tidak mahu menunggu lama.

"Di sini dekat dengan kawasan kilang dan perumahan, tambahan pula terdapat sebanyak 80 gerai jualan menyebabkan ia menjadi tumpuan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini.

Difahamkan, sebelum pandemik Covid-19, bazar Ramadan di situ boleh menempatkan sebanyak 148 gerai.

Menurut Taufik, keadaan hari ini agak terkawal dan pihak pengurusan juga menempatkan lima anggota keselamatan bagi memastikan pengunjung mematuhi SOP.

"Mungkin kerana tahun lalu tidak ada bazar Ramadan maka pengunjung mengambil peluang ini. Namun kita nasihatkan pengunjung dan peniaga supaya mematuhi SOP," katanya.

#kw nombor, giliran, bazar Ramadan, Bayan Baru, SOP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 6:55 PM