GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan Bazar Ramadan Greenwood, Gombak, Selangor ditutup selama empat hari bermula esok hingga 25 April depan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad dalam satu kenyataan media berkata, arahan penutupan bazar dibuat pada tarikh berkenaan selepas mengambil kira kebajikan peniaga yang telah memasak untuk jualan hari ini.

Katanya, penyerahan notis tutup bazar mengikut Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sudah diserahkan kepada wakil pengelola Jawatankuasa Penduduk Zon 3 di Jabatan Pelesenan, hari ini.

"Penyerahan notis penutupan ini dikeluarkan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Pada masa sama, MPS turut menerangkan SOP dan tindakan pematuhan yang perlu dipatuhi bagi tujuan pembukaan semula bazar kepada wakil pengelola yang hadir," katanya.

Dalam kenyataan sama, MPS memaklumkan sudah menetapkan kepada semua penganjur dan pengelola untuk melaksanakan SOP tambahan.

Antaranya penggunaan kad nombor giliran kepada pengunjung, mewujudkan laluan sehala di dalam bazar dan larangan masuk ke bazar Ramadan buat kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas 65 tahun ke atas.

"Bagi memastikan SOP ini dipatuhi, MPS akan sentiasa membuat pemantauan di bazar Ramadan kawasan MPS.

"Pengunjung dan peniaga diingatkan supaya tidak leka dan alpa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan agar penularan wabak Covid-19 dapat dikawal," katanya.

Terdahulu, Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu diarah tutup sementara oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu pada Jumaat lalu kerana perlanggaran SOP.

Bagaimanapun, ia dibenarkan beroperasi semula mulai 19 April lalu.

Ia dikuti Bazar Ramadan Balok, Kuantan, Pahang yang ditutup sementara bermula 18 April lalu kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:44 PM