GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Walaupun kerajaan memberi kebenaran bazar Ramadan beroperasi tahun ini namun peniaga dan pengunjung dinasihatkan tidak mengambil kesempatan sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, kebenaran membuka bazar Ramadan itu sedikit sebanyak dapat membantu peniaga yang terjejas pendapatan sebelum ini bangkit semula.

Bagaimanapun, katanya, peniaga dan pengunjung tidak boleh mengambil kesempatan sehingga mengabaikan SOP ditetapkan.

"Mereka tetap kena patuh pada SOP dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Pihak penganjur dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) perlu memastikan ada penjarakan fizikal oleh pengunjung yang datang ke bazar terbabit," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Hanafiah berkata, kompaun bukan sahaja perlu dikenakan kepada pengunjung yang melanggar SOP malah kepada peniaga yang tidak memastikan pelanggan yang datang ke kedainya mengikut arahan ditetapkan.

"Kompaun yang dikenakan bukan ingin menekan rakyat tetapi sepatutnya mereka perlu menghargai kelonggaran diberi kerajaan membenarkan bazar Ramadan dibuka tahun ini malah janganlah takut kerana jika patuh pada SOP pasti tidak akan dikenakan kompaun.

"Selain itu, bagi mengelak berlaku kluster baharu di bazar Ramadan disarankan penganjur menyediakan laluan sehala dan gerai menjadi tumpuan menggunakan sistem nombor giliran," katanya.

Beliau berkata, selain itu sudah tiba masanya menggunakan kaedah tempahan dalam talian menggunakan aplikasi di bazar Ramadan.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam dan Epidemiologi Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Noran Naqiah Hairi juga bersetuju bazar Ramadan dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP ketat namun perlu dilaksanakan secara berbeza bukan seperti tahun sebelum ini.

"Pelaksanaannya seperti pasar malam yang kini sudah dibuka iaitu kawalan orang ramai perlu ada dengan pastikan bilangan gerai yang dibenarkan untuk beroperasi di bazar berpatutan dan bukan seperti dahulu.

"Ini bagi memastikan jarak fizikal yang mencukupi selain kawalan kemasukan orang ramai di pintu masuk bazar bagi memastikan tiada kesesakan.

"Peniaga juga wajib menggunakan pelitup muka, menggunakan apron pakai dan buang (disposable), sarung tangan plastik (disposable) malah pengendali makanan juga perlu mengambil vaksin tifoid," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta jangan lupa dengan apa yang dipelajari sejak setahun yang lalu iaitu Covid-19 merebak melalui titisan salur pernafasan yang boleh bertebaran sejauh satu meter.

"Jangan lupa juga untuk segera mendaftar diri sebagai penerima vaksin Covid -19. Lebih ramai orang menerima suntikan vaksin Covid-19, lebih cepat matlamat untuk imuniti kelompok dapat dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 5:55 PM