GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiada sebarang penutupan bazar Ramadan atau pasar di Perak yang diarahkan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) disebabkan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagaimanapun terdapat satu pasar malam di daerah Manjung yang ditutup sendiri dengan kerelaan dan permohonan penganjurnya disebabkan ketidakmampuan mengawal SOP.

Beliau berkata, ia berikutan penganjur turut menganjurkan bazar Ramadan di tapak sama iaitu hanya bersebelahan pasar malam itu.

Menurutnya, penutupan pasar malam dibuat melalui hasil perbincangan penganjur dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

"Setakat ini kerajaan negeri masih tidak mengeluarkan sebarang arahan mengenai penutupan mana-mana bazar Ramadan, namun mengenai penutupan pasar malam yang dimaksudkan, penganjur itu sendiri yang memohon untuk menutup.

"Penganjuran bazar dan pasar itu adalah secara 'private lead' (bukan di bawah kelolaan PBT). Bagaimanapun bazar Ramadan yang dianjurkan penganjur yang sama di tapak itu juga tetap diteruskan.

"Ia kerana penganjur itu sendiri menyatakan ketidaksanggupannya meneruskan pasar malam sepanjang Ramadan ini atas dasar susah mengawal SOP kerana kepadatan pengunjung.

"Difahamkan pasar malam di situ lebih padat dengan pengunjung berbanding bazar Ramadan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya kurang berpuas hati dengan tahap kepatuhan pengunjung terhadap SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri sekitar daerah Manjung.

Difahamkan pasar malam yang dimaksudkan ialah di Pusat Perniagaan Manjung Point berdekatan hospital swasta dan pasar raya besar di Manjung.

Dua mesej suara mengenai penutupan pasar malam terbabit turut tular di WhatsApp mengenai seorang lelaki dipercayai penganjur pasar malam dan bazar menasihatkan peniaga.

Lelaki berkenaan menyatakan hanya 200 individu saja dibenarkan memasuki bazar Ramadan dalam satu-satu masa yang mana kad giliran disediakan kepada pengunjung selain menyatakan pihaknya terpaksa membatalkan pasar malam buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:33 PM