GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan lagi kluster baharu Covid-19 di Johor, Kuala Lumpur, Sarawak, Kelantan, Perak dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu adalah Kluster Jalan Keluli, Kluster Medan Idaman, Kluster Jelita, Kluster Kampung Renok, Kluster Kampung Geting, Kluster Lumut Barat, Kluster Kubang Bujuk dan Kluster Kejaya.

Menurutnya, Kluster Jalan Keluli membabitkan daerah Kota Tinggi, Johor Bahru dan Segamat di Johor di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 30 Disember 2020 hasil saringan bersasar di sebuah kilang terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Johor dengan 42 dikesan positif Covid-19 setakat ini.

"Kluster Medan Idaman pula membabitkan daerah Cheras dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 6 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah pasar raya yang terletak di Medan Idaman dengan 10 kes direkodkan setakat ini.

"Kluster Jelita membabitkan daerah Miri di Sarawak di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-122,769) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Januari 2021 hasil saringan rentas negeri dari Melaka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, nama kluster merujuk kepada tempat tinggal sementara kes indeks yang terletak di Taman Jelita, Miri dengan lapan kes dikesan setakat ini.

"Kluster Kampung Renok pula membabitkan daerah Gua Musang di Kelantan di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-115,045) dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah pulang dari Selangor.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Renok Baru, Gua Musang dengan 23 kes dikesan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, Kluster Kampug Geting pulang membabitkan daerah Tumpat di Kelantan di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125,400)dilaporkan positif Covid-19 pada 6 Januari 2021 hasil saringan rentas negeri dari Pulau Pinang dengan 11 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Lumut Barat pula membabitkan sebuah kem di daerah Manjung, Perak di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-114,928)dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah pulang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 11 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Kubang Bujuk pula membabitkan sebuah pusat pengajian agama yang terletak di Kubang Bujuk, Kuala Terengganu di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-131,085) adalah jangkitan pernafasan akut teruk (Sari( dan dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Januari lalu dengan 10 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Kejaya pula membabitkan daerah Dungun di Terengganu di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125,428) dilaporkan positif Covid-19 pada 6 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan komuniti di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Dungun di mana setakat ini sembilan kes dikesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 7:41 PM