GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam lagi kluster baharu Covid-10 di Sabah dan Lembah Klang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit ialah Kluster PTS Sibuga, Kluster Tapak Bina Jessel Ton, Kluster Dermaga, Kluster Temasuk, Kluster Ud SS2 dan Kluster Tapak Bina Awan Baru.

Menurutnya, Kluster PTS Sibuga membabitkan daerah Sandakan, Sabah yang mana kes indeks (iaitu kes ke-35,885) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 November lalu hasil saringan individu bergejala dengan 104 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster Tapak Bina Jessel Ton membabitkan daerah Kota Kinabalu, Sabah yang mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada hari ini hasil saringan di tempat kerja dengan 44 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster Dermaga pula membabitkan daerah Sandakan, Sabah yang mana kes indeks ke-25,325 dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Oktober lalu hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, 34 kes dilaporkan positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Tempasuk membabitkan daerah Kota Belud Sabah yang mana kes indeks iaitu kes ke-56,849 dilaporkan positif Covid-19 pada 24 November lalu melalui saringan individu bergejala dengan 12 kes dikesan positif setakat ini.

"Kluster Ud SS2 pula membabitkan daerah Petaling, Selangor yang mana kes indeks (iaitu kes ke-61,360) dilaporkan positif Covid-19 semalam hasil saringan individu bergejala dengan 13 kes dikesan positif setakat ini.

"Kluster Tapak Bina Awan Baru membabitkan daerah Kepong dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mana kes dilaporkan positif hari ini melalui saringan bersasar ke atas pekerja di sebuah tapak pembinaan dengan 31 dikesan positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 7:40 PM