Mohd Roji Kawi


Kuching: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa prosedur yang merumitkan dalam urusan sektor awam perlu diubah dan ditambah baik bagi memperkasakan lagi sektor perkhidmatan awam khususnya dalam situasi mencabar yang luar biasa ketika ini.

Beliau berkata, pekeliling yang ditetapkan setiap jabatan dan agensi sudah baik dan teratur, namun dalam situasi mencabar, ia perlu ditambah baik.

"Kita tidak boleh kekal dengan cara atau peraturan sedia ada. Ianya teratur tetapi dalam situasi mencabar yang luar biasa, maka peraturan itu perlu ditambah baik.

"Apa sahaja prosedur yang menjadi penghalang sehingga melewatkan sesuatu keputusan perlu diubah dan diperkemaskan dengan segera," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Sarawak di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan langsung bukan sahaja terhadap sektor ekonomi tetapi juga sektor lain termasuk sektor awam.

"Antara cabaran terbesar ialah dalam aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan, bagaimana kita hendak menyampaikan perkhidmatan dan pelbagai bentuk bantuan terutamanya kepada rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman yang masih agak terbatas kemudahan seperti infrastruktur asas dan capaian internet.

"Justeru, pemerkasaan sektor awam adalah antara agenda penting yang sering ditekankan dalam Kerajaan Perikatan Nasional," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi mencapai hasrat itu, fokus utama kerajaan ialah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan mesra rakyat.

Menurutnya, langkah itu penting supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara efektif kepada golongan sasar yang terkesan.

"Tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk mengurangkan kekangan birokrasi supaya kita dapat membantu segenap lapisan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar, contohnya di peringkat pihak berkuasa tempatan, mana-mana peraturan yang didapati tidak lagi berkesan wajar diteliti semula dan ditambah baik.

"Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat, begitu juga permohonan daripada para peniaga, pengusaha dan pelabur. Setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Menurutnya, penjawat awam juga perlu mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam norma baharu agar mereka lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

TAN Sri Muhyiddin Yaasin di sambut oleh Datuk Amar Douglas Embas ketika tiba Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
TAN Sri Muhyiddin Yaasin di sambut oleh Datuk Amar Douglas Embas ketika tiba Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Kuching. FOTO Nadim Bokhari

"Saya berharap penjawat awam terus memainkan peranan sebagai pemudahcara untuk memudahkan urusan masyarakat setempat di dalam komuniti masing-masing selaras dengan agenda pemerkasaan sektor awam.

"Penggunaan teknologi secara meluas pasca Covid-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak menghadiri Taklimat Hala Tuju Kerajaan Sarawak dan mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Bahagian Kuching di Stadium Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 2:50 PM