MEE Kolok Hj Salleh di Jalan Satok, Kuching yang disebut oleh Perdana Menteri sebagai contoh dalam perutusannya sempena Hari Pekerja. FOTO Nadim Bokhari
MEE Kolok Hj Salleh di Jalan Satok, Kuching yang disebut oleh Perdana Menteri sebagai contoh dalam perutusannya sempena Hari Pekerja. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


PEMILIK Restoran Mi Kolok Haji Salleh di sini, masih menunggu keputusan kerajaan negeri sama ada membenarkan perniagaan tertentu beroperasi seperti yang diumumkan Kerajaan Pusat.

Faridah Salleh, 46, berkata mereka menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, namun keputusan untuk beroperasi sepenuhnya, belum muktamad.

"Sebagai peniaga yang sudah lama tidak beroperasi sepenuhnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pengumuman itu tentunya melegakan kami.

"Namun kita tidak tahu apa pula keputusan kerajaan negeri, sama ada mengikut atau tidak keputusan itu," katanya.

Dalam perutusan Hari Pekerja hari ini, Muhyiddin sekali lagi menggunakan restoran mi kolok terkemuka di Kuching itu bagi menerangkan secara mudah kebenaran untuk sektor perniagaan tertentu beroperasi sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mulai Isnin ini

MEE Kolok Hj Salleh di Jalan Satok, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
MEE Kolok Hj Salleh di Jalan Satok, Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Sebelum ini, restoran mi kolok popular di Kuching, antara contoh yang diberikan Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan pada 6 April lalu.

Menurut Faridah, pada PKP fasa 1 restoran berkenaan tidak beroperasi tetapi baru-baru ini, restoran dibuka semula untuk menyediakan pembelian bawa balik yang beroperasi sehingga jam 7 malam.

Katanya, selain menunggu keputusan kerajaan negeri, pihaknya juga perlu meneliti SOP yang ditetapkan untuk restoran dan kedai makan beroperasi mulai Isnin ini.

"Saya belum meneliti syarat-syarat yang ditetapkan, tetapi apa yang saya dengar daripada peniaga lain, prosedurnya agak ketat," katanya.

Faridah kini mengambil alih operasi restoran itu bersama dua adiknya sejak bapa mereka yang juga pengasas restoran berkenaan, Salleh Reduan, 72, tidak lagi mampu mengendalikan perniagaan itu berikutan faktor usia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak hanya akan membuat keputusan berhubung pengumuman terbaharu Kerajaan Persekutuan itu selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg serta Majlis Keselamatan Negeri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 4:56 PM