Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia, Putrajaya. FOTO NSTP
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia, Putrajaya. FOTO NSTP
minda

ISU berkaitan pengurangan saiz penjawat awam menjadi kebimbangan sejak sekian lama. Selalunya, isu ini menjadi topik perbualan hangat tatkala negara berdepan dengan masalah krisis kewangan disebabkan faktor dalaman dan luaran.

Berdasarkan sejarah, kerajaan Malaysia pernah memperkenalkan dasar penswastaan apabila beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan dan kecekapan mahupun ekonomi negara dapat dipertingkatkan.

Terdapat percanggahan pendapat berkaitan saiz penjawat awam yang ideal di antara beberapa pihak penggubal dasar/ahli politik dengan pelaksana dasar.

Ia disebabkan ada dalam kalangan ahli politik berpendapat bahawa saiz penjawat awam di Malaysia terlalu besar, manakala sebilangan pelaksana dasar mengatakan terdapat banyak kekosongan jawatan yang belum diisi.

Mutakhir ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara akan dikekalkan meski pun sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dilaksanakan.

Jaminan itu cukup melegakan hati kebanyakan penjawat awam yang turut terpalit dengan kebimbangan memandangkan ekonomi negara yang tidak stabil dek pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Perdana Menteri berpendapat tiada keperluan untuk mengurangkan saiz penjawat awam kerana mereka diperlukan untuk melakukan tugas lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Saiz penjawat awam di negara ini begitu dinamik mengikut peredaran masa, jumlah populasi, keadaan kesihatan ekonomi dan banyak lagi.

Pada 2008, jumlah penjawat awam kira-kira 1.2 juta orang. Kini, jumlahnya meningkat kepada lebih 1.6 juta orang sehinggakan sebelum ini ada ura-ura untuk menggurangkan jumlah penjawat awam supaya perbelanjaan kewangan negara dapat dikurangkan.

Sebenarnya, saiz penjawat awam di Malaysia merangkumi pelbagai sektor termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Negara lain yang dikatakan mempunyai jumlah penjawat awam yang kecil tidak mengambil kira jumlah pekerja yang bekerja di ketiga-tiga sektor itu.

Jika ketiga-tiga sektor ini tidak dimasukkan sekali di dalam pengiraan, maka jumlah sebenar penjawat awam di Malaysia hanyalah sekitar kira-kira 600,000 orang.

Jika diperhalusi sebetulnya, ada beberapa sektor yang perlu diberi perhatian supaya jumlah penjawat awam berada pada kadar yang ideal, terutama di sektor pendidikan dan perubatan.

Tidak dinafikan peranan penjawat awam kepada pembangunan dan kestabilan negara amat penting. Parti politik yang memegang tampuk pemerintahan bersilih ganti, namun institusi awam akan terus kekal memainkan fungsinya seperti sediakala.

Walaupun terdapat banyak rintangan yang melanda negara seperti krisis politik dan ancaman Covid-19, penjawat awam tetap berdiri teguh sebagai tulang belakang mendepani cabaran, memulihkan dan membangunkan negara.

Mereka juga adalah aset negara dan memastikan segala dasar yang dirangka kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kesejahteraan rakyat.

Namun, ada juga segelintir rakyat beranggapan perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam tidak berada pada tahap yang memuaskan.

Kerenah birokrasi ditambah pula dengan sikap mereka yang kurang mesra memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap penjawat awam. Ia seolah-olah seperti peribahasa masuk meliang penjahit, keluar meliang tabuh.

Perkara sebegini jika tidak dibendung, lambat laun akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan seterusnya akan diterjemahkan kepada turunnya keabsahan sesebuah kerajaan.

Francis Fukuyama dalam bukunya, Political Order and Political Decay (2014) mengatakan bahawa 'Much more important than the size of government is its quality…'.

Oleh itu, apa yang seharusnya perlu ditekankan supaya perkhidmatan awam di negara ini berada pada paksi yang betul dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain?

Konsep penyampaian perkhidmatan awam perlu segera berubah bagi menghadapi isu pandemik Covid-19 dan cabaran yang semakin kompleks seiring perkembangan Revolusi Perindustrian Ke-4.

Seperti yang dinyatakan tadi, kerajaan akan melaksanakan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dalam perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Oleh itu, penjawat awam seharusnya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan berteraskan teknologi kerana mereka bukan saja orang yang akan mengendalikan teknologi berkenaan, malah mereka juga adalah ejen kepada kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Roh dan prinsip New Public Management (NPM) perlu disuntik dan diperhebatkan semula supaya agensi kerajaan dapat beroperasi dengan cekap seperti yang dilakukan oleh agensi swasta.

Proses dan prosedur dalaman setiap agensi kerajaan juga perlu ditambah baik supaya kerenah birokrasi dapat dinyahkan dan seterusnya dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Selagi tidak bercanggah dengan mana-mana pekeliling kerajaan, apa kata setiap penjawat awam memberikan perkhidmatan berbentuk 'extra miles' kepada rakyat?

Apa-apa pun, jika ada keperluan mendesak untuk mengurangkan saiz penjawat awam satu hari nanti, ia perlu dikaji sedalam-dalamnya dengan mengambil kira pandangan daripada setiap peringkat jawatan dan jabatan.

Ia juga perlu diapit dengan strategi lain seperti penyediaan peluang pekerjaan yang baharu dan juga program latihan yang intensif.

Penulis Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 8:01 AM