Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my

Kuching: Sarawak menggunakan pendekatan hibrid bagi pendaftaran vaksinasi di kawasan luar bandar sebagai salah satu langkah untuk mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, menerusi pendekatan hibrid itu, selain pendaftaran dengan aplikasi MySejahtera, kaedah manual turut digunakan.

Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan ramai penduduk di luar bandar yang menetap jauh dari PPV dan sukar untuk mendaftar menerusi MySejahtera.

"Menerusi pendekatan itu, jika mereka belum mendaftar melalui MySejahtera atau Pejabat Residen tetapi hadir untuk vaksinasi, pihak PPV tidak akan menyuruh mereka balik sebaliknya akan terus memberikan suntikan vaksin.

"Untuk di luar bandar, mereka yang datang walaupun nama dia tiada dalam sistem, kita tetap akan berikan suntikan vaksin dan kemudian barulah didaftar dengan butiran peribadi mereka direkod dan dimasukkan di dalam sistem dan pangakalan data," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program imunisasi hari pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

ABANG Johari meluangkan masa melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari meluangkan masa melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, selain memastikan proses vaksinasi dipercepatkan, langkah itu dapat mengelakkan penduduk luar bandar daripada berulang alik beberapa kali ke PPV.

Beliau berkata, Sarawak menyasarkan satu juta penduduk negeri ini divaksin sehingga penghujung bulan ini dan yakin seramai 2.2 juta akan menerimanya pada Ogos depan.

"Minggu ini iaitu pada 9 Jun ini sebanyak 380,000 dos vaksin Sinovac akan diterima di Sarawak dan penghantaran berterusan dalam jumlah yang sama setiap minggu sehingga Ogos akan mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri ini" katanya.

Mengenai program vaksinasi AstraZeneza, Abang Johari berkata, sasaran untuk tiga hari pertama mulai hari ini ialah seramai 1,000 sehari di Kuching manakala di Miri pula 400 orang sehari.

"Selepas itu jumlah yang menerima vaksin itu akan ditingkatkan sehingga 3,000 orang sehari sehingga kita melengkapkan seramai 30,000 orang yang mendaftar secara sukarela untuk menerima vaksin AstraZeneca," katanya.

Sarawak mempunyai dua PPV berskala besar khusus untuk mengendalikan suntikan vaksin AstraZeneca iaitu di BCCK di Kuching dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Miri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 2:41 PM