Mohamed Farid Noh


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan pembentukan jawatankuasa atau pasukan petugas khas untuk mengubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara bagi membantu pemulihan ekonomi dengan lebih pantas.

Muhyiddin berkata, langkah itu adalah penting supaya pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan wabak Covid-19 tidak terbantut dengan kerenah birokrasi yang tidak perlu.

Katanya, jika tidak ada langkah baharu dibuat, dibimbangi urusan memulihkan semula ekonomi negara tidak akan berlaku sepantas yang diharapkan.

"Saya ingin usulkan supaya dibentuk satu jawatankuasa atau pasukan petugas untuk meneliti bagaimana cara yang kita guna pakai selama ini (sistem penyampaian perkhidmatan awam) dapat kita ubahsuai.

"Namun pengubahsuaian yang dilakukan perlulah tanpa kompromi aturan utama dari segi kewangan. Jika tidak ada perubahan aturan kerja, kita akan gagal memulihkan ekonomi dan kesannya pada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Johor di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, untuk membolehkan ekonomi negara terus berkembang dengan rancak dukungan penjawat awam adalah sangat penting bagi sama-sama membuat perubahan yang diperlukan.

"Negara kita dipuji kerana menjadi antara yang terbaik di dunia dalam melakukan langkah pengawalan penularan Covid-19 namun saya risau, jika tiada perubahan dalam cara kerja yang masih sama dan tiada anjakan daripada sebelum ini, negara kita akan ketinggalan pula di dalam pemulihan ekonomi.

"Saya mohon supaya penjawat awam bantu usahawan, pelabur dan pelawat dengan memudahkan urusan mereka termasuk dalam memudahkan kelulusan lesen dan sebagainya supaya ekonomi negara kembali pulih dengan pantas.

"Walaupun pakej rangsangan ekonomi bernilai RM295 bilion, yang juga pakej rangsangan paling besar dalam sejarah negara, sebahagian besarnya sudah diagihkan bagi memulihkan ekonomi kita ketika ini namun ia tidak mencukupi dan perlu ada tindakan susulan lain termasuk ubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara," katanya.

TAN Sri Muhyiddin Yassin hadir pada majlis Perjumpaan bersama Penjawat Awam Persekutuan & Negeri di Hotel Thistle Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
TAN Sri Muhyiddin Yassin hadir pada majlis Perjumpaan bersama Penjawat Awam Persekutuan & Negeri di Hotel Thistle Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Dalam pada itu, Perdana Menteri, berkata kerajaan terus komited untuk meletakkan soal memerangi rasuah sebagai agenda utama menerusi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Muhyiddin berkata, soal integriti adalah penanda aras keyakinan rakyat kepada kerajaan kerana budaya rasuah adalah satu perkara yang tidak baik untuk diamalkan.

"Sebagai penjawat awam, tentulah antara perlu utama perlu laksanakan dengan prinsip integriti.

"Sejak saya dilantik sebagai Perdana Menteri, saya amat komited dalam soal ini berdasarkan NACP yang dibuat oleh pentadbiran lalu, kita akan teruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 2:05 PM