GAMBAR hiasan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
GAMBAR hiasan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Dua lagi kluster baharu Covid-19 direkodkan di Sabah, hari ini, yang berpunca daripada menghadiri majlis kahwin dan majlis pengebumian.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster terbabit dikesan di Tawau dan Keningau.

"Kluster Kampung Baru Pasir Putih di Tawau dikesan pada 27 Mac lalu hasil saringan rentas negeri ke atas kes indeks yang hendak ke Labuan. Turut disahkan positif Covid-19 ialah dua anak kepada kes indeks pada tarikh sama.

"Berdasarkan penelitian, kes indeks iaitu seorang lelaki pernah pulang ke Tawau bagi menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Baru Pasir Putih yang dihadiri 244 tetamu.

"Setakat ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah lapan kes dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, satu lagi kluster iaitu Kluster Kampung Rimbayan di Keningau mencatatkan 15 kes positif Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, kes indeks dikesan positif melalui saringan rentas negeri dengan menggunakan RTK Antigen ke Labuan pada 17 Mac lalu.

"Saringan kontak rapat mendapati 14 kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan jiran yang hadir majlis pengebumian di Kampung Rimbayan pada 10 hingga 12 Mac lalu.

"Aktiviti saringan kontak dan kawalan masih dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah menasihatkan agar penganjur sesebuah majlis sosial supaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Kehadiran dalam majlis sosial antara penyumbang utama kepada peningkatan penularan kes wabak Covid-19 di negeri ini.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri menasihatkan masyarakat khususnya pihak penganjur majlis supaya lebih bertanggungjawab dan memastikan SOP majlis sosial yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 8:54 PM