GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Seorang guru yang dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan untuk kemasukan ke wad akibat pendarahan ketika mengandung dikenal pasti sebagai kes indeks Kluster Kampung Malaman, Sipitang yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Kluster baharu itu setakat ini mencatat 14 kes termasuk enam kes baharu yang dilaporkan hari ini dengan lima daripadanya termasuk kes indeks adalah guru di sebuah sekolah rendah di daerah Sipitang.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, turut dikesan positif ialah seorang pekerja kantin dan tujuh murid serta seorang kontak rapat kes indeks dari luar sekolah.

"Kes indeks ialah seorang guru wanita berusia 37 tahun di sebuah sekolah rendah di Sipitang dan disahkan positif melalui saringan kemasukan ke wad akibat pendarahan ketika mengandung.

"Saringan kontak di sekolah terbabit mendapati empat lagi guru bersama seorang pekerja kantin dan tujuh murid positif Covid-19," katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kluster baharu direkodkan di Keningau, hari ini iaitu Kluster Padang Tembak tercetus akibat aktiviti merentas negeri dan daerah yang dilakukan ahli keluarga kes indeks.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu ialah seorang pelajar berumur 15 tahun yang dikesan positif Covid-19 menerusi saringan untuk merentas negeri iaitu ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 7 Mac lalu.

Sehingga kini, katanya, kluster berkenaan mencatat sebanyak 21 kumulatif kes, termasuk enam kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

"Hasil penelitian, jangkitan merebak ekoran aktiviti rentas negeri dan daerah oleh ahli keluarga kes indeks, di samping pergerakan kerap kes indeks ke rumah saudara-mara di Kampung Padang Tembak, Keningau. Saringan kontak rapat masih giat dijalankan," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, hari ini Sabah mencatat sebanyak 73 lagi kes baharu dengan satu kematian di Kudat, manakala 47 orang dilaporkan sembuh dan 374 orang lagi masih dirawat.

Sementara itu, katanya daerah Kuala Penyu kembali ke zon hijau hari ini, menjadikan tiga daerah berada dalam zon itu setakat ini termasuk Tongod dan Semporna.

"Hanya lima daerah masih berada dalam zon merah setakat ini iaitu Keningau, Tawau, Nabawan, Kota Kinabalu dan Kalabakan, manakala enam daerah dalam zon jingga serta 13 daerah dalam zon kuning," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:48 PM