GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Saringan terhadap jenazah seorang warga tua yang menunjukkan keputusan positif Covid-19 selepas dibawa ke hospital mencetuskan satu daripada tiga kluster baharu berkaitan komuniti di Sabah, semalam.

Kluster Ambar Park di Tawau tercetus selepas jenazah seorang lelaki berusia 71 tahun didapati positif Covid-19 melalui saringan RTK Antigen pada 1 Jun lalu sebelum disusuli 15 lagi kes positif melalui saringan kontak rapat.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu direkodkan di Kampung Kadazan, Mukim Tanjung Batu, Tawau membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga kes indeks.

"Susulan kes itu, 45 kontak rapat disaring dan mengesan 15 lagi kes positif Covid-19 yang turut membabitkan kes jangkitan kontak keluarga generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes.

"Seramai 28 kontak rapat pula didapati negatif dan seorang kontak masih menunggu keputusan ujian. Berdasarkan maklumat, sebelum ini dianggarkan lebih 50 ahli keluarga dan kontak sosial menziarahi kes indeks untuk majlis doa selamat di rumahnya, di Kampung Kadazan, Ambar Park," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Sementara itu, kluster kedua dilaporkan di daerah Nabawan, dikenal pasti berkaitan satu majlis pertunangan di Kampung Indah, Nabawan pada 20 Mei lalu.

Masidi berkata, kes indeks ialah seorang wanita tempatan berumur 34 tahun tidak bergejala yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan pra rawatan di hospital pada 22 Mei lalu.

"Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 124 kontak menemukan 20 lagi kes positif dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 21 kes. Daripada jumlah yang disaring, 100 individu didapati negatif saringan pertama, manakala tiga individu masih menunggu keputusan ujian saringan," katanya.

Dalam pada itu, katanya kluster ketiga semalam tercetus di Kampung Baru, Sipitang membabitkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Sindumin yang dikaitkan dengan aktiviti rumah ibadat.

Kes indeks katanya adalah lelaki berusia 58 tahun yang disahkan positif saringan RTK Antigen pada 26 Mei lalu selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada anak saudaranya.

"Kes indeks mengalami simptom batuk, sakit kepala dan 'malaise' sejak 23 Mei lalu serta mempunyai sejarah pergerakan ke luar daerah iaitu ke Keningau pada 16 Mei lalu.

"Hasil pengesanan dan saringan kontak yang membabitkan kaitan epidemiologi sama iaitu menghadiri rumah ibadat di Sabah Forest Industry (SFI), Sipitang, sebanyak 23 kes positif Covid-19 dikesan termasuk 13 kes baharu pada hari ini (semalam)," katanya.

Semalam, Sabah mencatat 378 kes baharu Covid-19, meningkat sebanyak 69 kes berbanding 309 kes kelmarin, manakala lima kematian dilaporkan, masing-masing satu di Tawau, Semporna, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Putatan.

Masidi berkata, peningkatan mendadak kes baharu itu disebabkan langkah Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan bersasar dari rumah ke rumah di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 8:34 AM