GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Aktiviti pergaulan dan lepak golongan remaja di kampung mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Jambatan Liawan di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikesan di daerah Keningau itu membabitkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Tuarid Taud dan Lingkudau.

"Kes indeks adalah lelaki 26 tahun yang dikesan positif Covid-19 dalam saringan bergejala pada 14 Julai lepas di sebuah klinik swasta di Keningau.

"Saringan kontak rapat pada 15 Julai pula mendapati enam kes positif iaitu satu kes di klinik swasta dan lima kes yang dilaporkan daripada Pusat Kuarantin Sementara, IPG Keningau.

"Kemudian, pada 16 Julai lepas, 38 lagi kes positif dikesan hasil saringan kontak rapat di lapangan," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Masidi berkata, secara keseluruhannya, berbanding 256 kontak yang disaring, jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini mencatatkan 45 kes, termasuk 38 kes baharu.

"Penularan jangkitan kluster ini juga disyaki berpunca daripada pergaulan golongan remaja di kampung dan kemudian merebak kepada ahli keluarga.

"Aktiviti siasatan dan pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 647 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 74,479 kes dan satu kes kematian membabitkan Lahad Datu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:34 AM