GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali

[email protected],my

Kota Kinabalu: Seorang suri rumah yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah semalam iaitu Kluster Kampung Bergosong di Tawau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster terbabit kluster jenis komuniti dan tempat kerja yang merekodkan jumlah terkini sebanyak 21 kes.

"Kes indeks adalah seorang suri rumah dari Kampung Bergosong yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 13 April lepas.

"Saringan terhadap kontak rapat kemudiannya mendapati lapan kes positif termasuk ahli keluarga kes indeks. Hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri tahlil pada 8 April lalu.

"Selain itu, saringan di tempat kerja iaitu di Ladang Prosperous Kampung Bergosong turut dijalankan berikutan salah seorang daripada kontak rapat yang dikesan positif adalah pekerja di ladang terbabit.

"Hingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak dua angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 89 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,136 kes dan tiada sebarang kematian direkodkan hari ini (semalam).

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 162 menjadikan jumlah kumulatif 56,771 orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 7:55 AM