ISMAIL Sabri ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Perdana Putra. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Perdana Putra. FOTO BERNAMA
Hayati Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 158 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan 457 individu dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 157 individu yang ditahan itu direman, manakala seorang lagi diberi jaminan polis.

Menurutnya, sebanyak 288 kompaun pula dikeluarkan di balai polis termasuk satu kompaun dikeluarkan atas ziarah Aidilfitri, manakala 169 dikeluarkan di lapangan dengan 144 daripadanya dikeluarkan di sekatan jalan raya (SJR).

"Antara negeri mencatatkan rentas negeri tertinggi adalah Perak (42 kompaun), Selangor (32 kompaun), Pulau Pinang (24 kompaun) dan Johor (24 kompaun).

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 72,258 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB," katanya pada sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 5,182 pasar raya, 5,525 restoran, 641 penjaja dan 1,267 kilang serta 4,089 bank diperiksa.

"Turut diperiksa adalah 2,934 pasar awam, 4,610 tempat ibadah, 2,111 tempat riadah dan 616 tapak binaan.

"Pemeriksaan juga dibuat di 1,113 terminal pengangkutan darat, 202 terminal pengangkutan air dan 124 terminal pengangkutan udara," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 22,253 buah kenderaan persendirian, 1,555 kenderaan awam dan 393 vessel diperiksa.

"Sebanyak 3,728 pasukan pematuhan sudah membuat pemantauan membabitkan seramai 18,687 anggota dengan mengenakan 147 sekatan jalan raya dan memeriksa sebanyak 188,844 kenderaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 3:57 PM