GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 100 individu ditahan dan dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 97 dikenakan kompaun dan tiga direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (27), aktiviti pusat hiburan (12), tidak memakai pelitup muka (11) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (dua).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 67,520 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Sebanyak 3,594 Pasukan Pematuhan membabitkan 16,017 anggota membuat pemantauan di 4,773 pasar raya, 6,190 restoran, 2,870 penjaja, 1,979 kilang, 3,954 bank dan 685 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau, sebanyak 1,545 terminal pengangkutan darat, 393 terminal pengangkutan air serta 143 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan tujuh kenderaan darat dirampas.

"Selain itu, seramai 831 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 7:15 PM