ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Raja Noraina Raja Rahim


PADAH ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seramai 238 individu ditahan polis dan dikenakan kompaun atas kesalahan itu, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 42 individu direman manakala 196 individu dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan mereka termasuk aktiviti pub dan kelab malam serta aktiviti yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Pasukan khas operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 64,687 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 2,772 pasukan pematuhan yang membabitkan 12,488 anggota membuat pemantauan di 3,962 pasar raya, restoran (6,321), penjaja (2,018), kilang (1,245), bank (3,748) dan pejabat kerajaan (759).

"Turut dipantau 1,164 terminal pengangkutan darat, 246 terminal pengangkutan air dan 102 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai Op Benteng sejak 1 Mei hingga semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 257 pendatang asing tanpa izin (Pati), sembilan tekong dan 37 bot terbabit dalam percubaan menceroboh sempadan negara diusir.

Sementara itu, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pemeriksaan di 28 tapak binaan di seluruh negara kelmarin mendapati empat tapak binaan tidak patuh SOP.

"Dari 20 April sehingga semalam, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP adalah 3,503 manakala 572 lagi tidak patuh dan diberi amaran manakala 19 tapak binaan diarah tutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 4:27 PM