ZULKIFLI (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk suku kaum Suluk. FOTO Aswadi Alias.
ZULKIFLI (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk suku kaum Suluk. FOTO Aswadi Alias.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Semporna: Bukan sekadar bantuan keperluan harian, malah Muslim Care Malaysia (Muslim Care) akan membina sebuah madrasah terapung bagi masyarakat Bajau Laut yang tinggal di dalam perahu sekitar Pulau Mabul.

Cadangan terbaru itu disuarakan Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan selepas mendapati pengetahuan Islam masyarakat berkenaan amat terhad.

Menurutnya, madrasah berkenaan akan digunakan tenaga pengajar untuk mendekati masyarakat Bajau Laut atau Pala'u yang masih meneruskan kehidupan 'terasing' dari masyarakat dan syiar Islam.

"Madrasah terapung ini akan mendekati mereka yang masih hidup nomad di pulau sekitar Pulau Mabul untuk mengajar ilmu Islam dengan lebih mudah.

"Masyarakat ini tidak akan bercampur dengan orang luar dan mereka tidak akan pergi ke madrasah yang dibina di Pulau Mabul untuk mendalami Islam.

"Jadi pendekatan terbaik adalah mendekati mereka dan memberikan pengetahuan asas Islam sebagai permulaan," katanya ketika ditemui sebaik menamatkan Misi Santuni Asnaf di Sabah yang berakhir hari ini.

MASYARAKAT Bajau Laut atau Pala’u di Pulau Mabul masih tinggal perahu dan tinggal secara nomad tidak menerima pendidikan formal. FOTO Aswadi Alias.
MASYARAKAT Bajau Laut atau Pala’u di Pulau Mabul masih tinggal perahu dan tinggal secara nomad tidak menerima pendidikan formal. FOTO Aswadi Alias.

Zulkifli berkata, madrasah berkenaan akan menggunakan sebuah bot dan dijangka beroperasi antara Mei hingga Jun depan bagi memudahkan perkembangan Islam di Pulau Mabul dan pulau berhampiran.

Katanya, Muslim Care bukan saja memberikan bantuan makanan malah pendidikan juga menjadi aspek tumpuan dalam setiap misi kemanusiaan.

"Jika masyarakat Pala'u ini terus terpinggir, kitaran hidup mereka akan kembali berulang selama bergenerasi tanpa ada asas Islam dan ilmu yang boleh mengubah kehidupan lebih baik.

"Muslim Care melihat pendidikan menjadi tunjang utama memastikan generasi muda Pala'u ini tidak ketinggalan dalam apa juga aspek terutamanya membabitkan akidah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 4:25 PM