Ekhwan Haque Fazlul Haque

Semporna: Ombak kuat selain beberapa kali 'tersekat' di tengah laut.

Itu cabaran yang dihadapi sukarelawan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) dalam Misi Santuni Asnaf Sabah ketika menuju ke Pulau Mabul, hari ini.

Perjalanan yang sepatutnya hanya 30 minit dari Jeti Umum Semporna, namun mengambil masa hingga lebih sejam.

Namun, kecekalan dan semangat tinggi sukarelawan akhirnya berjaya tiba di Pulau Mabul pada 6.15 petang tadi.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, walaupun terpaksa berhenti di tengah lautan bergelora lebih 10 kali, akhirnya anggota misi selamat tiba di Pulau Mabul.

Menurutnya, cabaran adalah 'kemanisan' dalam setiap misi yang dilaksanakan Muslim Care baik di dalam mahupun di luar negara.

Katanya, di Pulau Mabul, Muslim Care akan menyerahkan bantuan kepada 300 asnaf dan penduduk tempatan yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

PETUGAS Muslim Care Malaysia mengangkat barang sumbangan daripada bot untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Kuala Balong pada Misi Santuni Asnaf Sabah anjuran Muslim Care Malaysia. FOTO Aswadi Alias
PETUGAS Muslim Care Malaysia mengangkat barang sumbangan daripada bot untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Kuala Balong pada Misi Santuni Asnaf Sabah anjuran Muslim Care Malaysia. FOTO Aswadi Alias

"Umum mengetahui Pulau Mabul terkenal sebagai destinasi pelancongan utama di Pantai Timur Sabah.

"Namun, pandemik yang melanda Malaysia sejak setahun lalu menyebabkan industri pelancongan tempatan terjejas teruk," katanya.

Zulkifli berkata, misi kali ini akan menyantuni penduduk di beberapa kampung sekitar Pulau Mabul selama dua hari bermula esok.

Terdahulu, peserta misi menyantuni asnaf di Kampung Sungai Balong dan Kampun Kuala Arang, Tawau.

Lebih 50 pek barang keperluan harian diberikan kepada penduduk yang majoritinya dari kaum Suluk dan Bajau.

Kebanyakan mereka yang bekerja sebagai nelayan nyata terjejas teruk kerana Covid-19.

Misi kali ini mendapatkan kerjasama dan sokongan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin KLCC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 7:04 PM