Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang bekerjasama menyediakan perkhidmatan 'madrasah terapung' khusus untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak suku Bajau Laut di kawasan perairan sekitar Semporna, Sabah wajar menjadi contoh kepada pihak lain dalam aspek mempelbagaikan pendekatan dakwah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, madrasah terapung itu yang dipercayai pertama seumpamanya di negara ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar tercapai matlamat kewujudannya.

"Saya berharap agar semua pihak yang bekerjasama untuk membina madrasah terapung ini dapat terus bersama-sama menggembleng tenaga meneruskan usaha murni ini selari dengan konsep Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan madrasah terapung di perairan Pulau Mabul, dekat Semporna, Sabah, semalam.

Menurut kenyataan Muslim Care Malaysia (MCM), majlis perasmian diadakan di atas madrasah terapung iaitu bot berukuran 9 x 3 meter yang dikelilingi puluhan sampan serta perahu yang menjadi kediaman suku Bajau Laut atau dikenali juga sebagai Pala'u.

Madrasah terapung berharga kira-kira RM200,000 itu adalah inisiatif MCM yang turut dibantu rakan NGO, Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia (One Nation), Yayasan Taqwa, selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCM Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya bersyukur kerana usaha mewujudkan madrasah terapung itu yang dilakukan sejak setahun lalu akhirnya membuahkan hasil dan menjadi kenyataan.

"Idea mewujudkan madrasah terapung ini tercetus hasil beberapa misi kebajikan kami dalam menyantuni komuniti Bajau Laut sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, majoriti daripada mereka didapati masih tidak bersekolah dan amat cetek pengetahuan agama Islam biarpun ramai yang mengaku Muslim dan sudah banyak sumbangan ke arah itu diberikan kepada mereka sebelum ini.

"Oleh kerana mereka sering memberi alasan sukar ke sekolah kerana 'mabuk darat' MCM memutuskan untuk mewujudkan madrasah terapung iaitu menjadikan bot sebagai 'sekolah mudah alih' yang beroperasi kawasan perairan tempat tinggal mereka sebagai inisiatif akses pendidikan," katanya.

Mohd Johari berkata, tugas MCM dan rakan-rakan NGO lain serta Jakim masih belum selesai kerana selepas ini perlu dipastikan madrasah terapung itu benar-benar berfungsi.

Menurutnya, buat permulaan, 200 kanak-kanak suku Bajau Laut daripada empat pulau di sekitar perairan Semporna sudah dikenal pasti untuk belajar di madrasah terapung yang beroperasi dua sesi sehari dan lima hari seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 3:49 PM
AHMAD Marzuk (dua kiri) pada majlis pelancaran madrasah terapung. FOTO ihsan Muslim Care Malaysia
AHMAD Marzuk (dua kiri) pada majlis pelancaran madrasah terapung. FOTO ihsan Muslim Care Malaysia