Ahmad Fakkarudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini terhadap pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya. Foto Ghazali Kori
Ahmad Fakkarudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini terhadap pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya. Foto Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

PENJAWAT awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya.

Tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab, 29, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan itu dibacakan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyentuh tangan kiri dan kanan wanita berusia 39 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa di sebuah pejabat kerajaan di daerah ini, 4.20 petang pada 25 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK), tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengaibkan kehormatan mangsa di lokasi sama, 10 pagi pada 25 November lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 KK berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 29 Disember nanti sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh diwakili Othman Bakar.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kakitangan kerajaan negeri ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki itu ditahan kira-kira 3.40 petang pada 6 Disember lalu di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 3:03 PM