Norzamira Che Noh

Shah Alam: Bekas ketua jabatan projek kejuruteraan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 20 tuduhan menerima suapan berjumlah RM141,030 antara 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Yekson Alef Alirman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Yekson Alif dituduh menerima suapan berjumlah RM141,030 daripada individu sama sebagai upah untuk memberikan pembekalan alatan 'jig' kepada syarikat Maqna Glokal Ventures oleh syarikat Nisha Precision Technologies Sdn Bhd.

Kesalahan dilakukan antara 2 November 2016 hingga 18 Januari 2019 di dua bank di Jalan Sungai Chua, Kajang serta Bandar Baru Bangi di sini.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun; dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

YEKSON Alef mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM141,030 pada 2016 hingga 2019.FOTO Faiz Anuar
YEKSON Alef mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM141,030 pada 2016 hingga 2019.FOTO Faiz Anuar

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Gan Peng Kun yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan serta tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana anak guamnya kini tidak bekerja dan mempunyai keluarga untuk disara.

Katanya, tertuduh juga memberikan kerjasama penuh setiap kali dipanggil SPRM sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM25,000 bersama syarat tambahan dan kes disebut semula 26 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 2:09 PM