Mohd Saifullah Mohd Minggu, 30, menghadapi 24 pertuduhan.
Mohd Saifullah Mohd Minggu, 30, menghadapi 24 pertuduhan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes rasuah bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan seorang wanita yang berhadapan dengan pertuduhan berkaitan rasuah akan bermula pada 1 Oktober ini.

Mohd Saifullah Mohd Minggu, 30, menghadapi 24 pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah lebih RM3 juta bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu, manakala Nurfadziana Abdul Kadir, 29, berdepan dengan satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 1, 14, 26 dan 29 Oktober, 16 hingga 19 November dan 30 November, 1 hingga 3 Disember serta 14 hingga 16 Disember untuk perbicaraan kes dihadapi kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memberitahu mahkamah, dokumen berkaitan perbicaraan telah diserahkan kepada pembelaan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

"Pihak pendakwaan dijangka mengemukakan 27 orang saksi untuk memberi keterangan," kata Muhammad Asraf.

Mohd Saifullah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 18 pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM3,129,015 daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Nurfadziana pula menghadapi satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur iaitu di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavillion, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Vipod Residences, di Maybank Taman Tun Dr Ismail dan Wisma Genting dan di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya antara 19 Januari hingga 29 Julai 2019.

Mohd Saifullah turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM106,500 yang mana kesemua kesalahan itu dilakukan di empat lokasi berbeza termasuk Petaling Jaya, Sepang dan Puchong antara 21 Disember 2018 hingga 30 Mac 2019.

Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 17 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dihadapi Mohd Saifullah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 5:11 PM