Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Empat anggota bertugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang ditahan kerana membantu membawa masuk bekalan dadah ke dalam lokap Disember lalu, sudah dikenakan tindakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal berkenaan dikenakan tindakan selepas didapati bersalah membawa masuk bekalan dadah ke lokap tahanan IPD Kota Tinggi pada 3 Disember tahun lalu.

Katanya, tiga anggota terbabit dijatuhkan hukuman dan perintah tahanan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 selama dua tahun masing-masing di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Simpang Renggam, Kluang dan Batu Gajah, Perak.

"Manakala seorang lagi dikenakan perintah sekatan di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama selama dua tahun di PPA, Raub, Pahang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Pada 3 Disember lalu, media melaporkan sembilan anggota polis dan seorang awam ditahan dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di dalam lokap di IPD Kota Tinggi, 29 November lalu.

Ayob Khan dilaporkan berkata, sembilan anggota polis berusia 20 hingga 36 tahun itu yang berpangkat koperal hingga konstabel adalah penjaga lokap di IPD berkenaan.

Manakala seorang awam adalah anak kepada tahanan dalam lokap yang dikenali sebagai 'Datuk Ajim' berusia 23 tahun.

Penangkapan itu adalah susulan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Tinggi yang membuat ujian saringan air kencing ke atas 16 banduan daripada Penjara Ulu Choh yang ditahan di lokap itu. Dalam ujian itu lima tahanan positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Susulan itu, pada 29 November JSJN Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Johor dibantu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK membuat pemeriksaan di lokap berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 38.65 gram bernilai RM3,865, 42.25 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,112.50 dan sejumlah tembakau.

Hasil penemuan dadah itu, pihak polis membuat ujian saringan terhadap 129 banduan di lokap IPD berkenaan dan 22 daripada banduan terbabit didapati positif dadah.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, seramai 22 anggota polis negeri ini ditahan kerja, lima digantung manakala 28 anggota lagi dibuang kerja tahun lalu, berikutan terbabit pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Bagi tahun ini pula seramai enam anggota ditahan kerja dan lima lagi digantung kerja atas kesalahan sama.

"Polis Johor tidak akan sama sekali berkompromi apa lagi melindungi anggota kami yang melakukan kesalahan termasuk membabitkan dadah," katanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 2:00 PM