Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Polis menahan 20 tokan dadah dalam satu operasi khas yang dilaksanakan serentak di seluruh negeri ini pada 16 Julai sehingga Khamis lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas itu bagi mengesan individu yang terbabit kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LPPK).

Beliau berkata, operasi khas itu diadakan khusus bagi membendung pengedaran dadah dengan menggunakan langkah-langkah pencegahan khas bagi menangkap pengedar dadah sekali gus mengasingkan mereka daripada hidup dalam komuniti.

"Polis Johor menyasarkan untuk menahan 30 tokan dadah namun dalam operasi khas yang dibuat 16 Julai hingga Khamis lalu itu, kita berjaya menahan 20 daripadanya.

"Kesemua individu ini adalah tokan dadah yang mana mereka terbabit dalam kes pengedaran dadah bernilai antara RM20,000 sehingga RM150,000.

"Mereka kini di bawah tahanan polis selama 60 hari bermula 16 Julai lalu dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan perintah tahanan di mana-mana pusat pemulihan akhlak selama dua tahun mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, atau perintah sekatan dua tahun dan perlu melaporkan di balai polis berhampiran," katanya.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan suspek pengedaran dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan suspek pengedaran dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, tahun lalu seramai 1,412 individu membabitkan penagih dan tokan ditahan di negeri ini membabitkan akta LPPK, manakala sejak Januari sehingga 22 Julai lalu pula membabitkan seramai 670 individu.

Beliau berkata, bagi menangani isu penagihan dadah pula, Polis Johor akan menggunakan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana ia dilihat paling berkesan dalam menangani kesalahan itu.

"Kebiasaannya penagih tegar yang banyak kali ditangkap akan keluar masuk pemulihan dan banyak terbabit dalam kes ragut, pecah rumah dan sebagainya. Kalau kita guna Seksyen 39C ini, kita dapat keluarkan mereka daripada berada dalam masyarakat dan dapat dikenakan hukuman.

"Mana-mana individu disabitkan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama.

"Seksyen ini paling berkesan untuk menangani isu dadah, jika mereka tidak ditahan dan diasingkan dari masyarakat, mereka akan terus bergelumang dengan najis dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 5:33 PM