Omar Ahmad

Johor Bahru: Sembilan anggota polis dan seorang awam ditahan dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, 29 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sembilan anggota polis berusia 20 hingga 36 tahun itu yang berpangkat koperal hingga konstabel adalah penjaga lokap di IPD berkenaan.

Manakala seorang awam adalah anak kepada tahanan dalam lokap yang dikenali sebagai 'Datuk Ajim' berusia 23 tahun.

"Penangkapan ini adalah susulan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Tinggi yang membuat ujian saringan air kencing ke atas 16 banduan daripada Penjara Ulu Choh yang ditahan di lokap itu. Dalam ujian itu lima tahanan positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952.

"Susulan itu, pada 29 November JSJN Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Johor dibantu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK membuat pemeriksaan di lokap berkenaan.

"Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 38.65 gram bernilai RM3,865, 42.25 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,112.50 dan sejumlah tembakau", katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

Jelas Ayob Khan, hasil penemuan dadah itu, pihak polis membuat ujian saringan terhadap 129 banduan di lokap IPD berkenaan dan 22 daripada banduan terbabit didapati positif dadah.

Katanya 10 banduan positif dadah jenis methamphetamine, 11 positif jenis dadah Morfin dan satu jenis THC.

"Seramai 21 banduan yang positif dadah adalah warga tempatan, manakala seorang warganegara asing berumur lingkungan 20 hingga 45 tahun. Mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Hasil ujian saringan daripada sembilan anggota mendapati dua anggota polis lelaki dan wanita awam positif dadah jenis methamphetamine. Manakala seorang anggota polis yang dikesan positif tadi turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau pada 2017 di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan).

"Tangkapan dibuat bagi membantu siastaan di bawah kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952," katanya.

Berita berkaitan:

  • Dadah bolos masuk lokap polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:51 AM