Omar Ahmad

Johor Bahru: Anggota polis yang bersekongkol bagi membekalkan dadah kepada tahanan di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima upah bagi setiap kali penghantaran.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, upah yang diterima antara RM50 hingga RM1,500.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bermula sejak awal November tahun ini.

"Mereka akan bersekongkol dengan pihak luar seperti kes ini anak perempuan 'Datuk Ajim' ini yang bawa (dadah) dan beri kepada anggota lokap.

"Kemudian anggota ini yang akan bawa serah kepada mereka (banduan). Anggota yang membawa dadah ke dalam lokap akan dibayar.

GAMBAR hiasan. FOTO Bloomberg
GAMBAR hiasan. FOTO Bloomberg

"Suspek pertama anggota polis dibayar RM1,500, seorang lagi anggota polis dibayar RM500 dan anggota polis wanita dibayar RM50. Bayaran mengikut pakej (dadah) yang masuk. Bayaran dibuat untuk sekali penghantaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, siasatan di dalam lokap IPD terbabit, mendapati ada satu sel lokap yang dijadikan port menghisap dadah.

"Dalam lokap IPD ini, ada satu sel yang dijadikan lokasi khas untuk menghisap dadah.

"Ini tangkapan pertama, kejadian mungkin banyak kali tapi tidak dapat dikesan, tiada pemantauan, tiada penyeliaan, mungkin tindakan tidak diambil dan cuba melindungi. Tidak ada melindungi sekarang ini, tindakan akan diambil," katanya.

Berita berkaitan

Dadah dalam lokap: Dah buka kertas siasatan terhadap 3 pegawai polis [METROTV]

Dadah dalam lokap: 9 polis antara 10 ditahan [METROTV]

Dadah bolos masuk lokap polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 2:12 PM