Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Orang ramai khususnya pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir di tempat parkir berbayar dekat Jalan Ayer Molek berganding bahu menolak kereta keluar dari kawasan yang dinaiki air.

Kira-kira 150 kenderaan di kawasan tempat letak kereta itu ditenggelami air sehingga separuh kenderaan akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat sejak 12.30 tengah hari ini.

Selain Jalan Ayer Molek, banjir kilat turut berlaku di Jalan Yahya Awal, Jalan Mahmoodiah, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Kolam Ayer, Jalan Tun Abdul Razak dan Kampung Mohd Amin yang menyebabkan hampir 500 kenderaan ditenggelami air.

Tinjauan di kawasan parkir kenderaan itu mendapati enjin semua kenderaan terjejas tidak dapat dihidupkan dan orang ramai berusaha membantu menolak kenderaan ke tempat lebih selamat.

Turut dilihat beberapa kereta tunda hadir di lokasi berkenaan untuk menunda kenderaan yang terjejas.

Banjir kilat itu kembali surut pada 2.30 petang dengan Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan longkang yang tersumbat.

Menurut Aliyas Said, 46, ia adalah kejadian banjir kilat terburuk yang dialaminya sejak dua tahun bekerja di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini saya ada juga parkir kereta di kawasan ini dan pernah juga hujan tetapi paling tinggi sehingga paras tayar sahaja, ini paling teruk dan kereta saya ditenggelami air.

"Ini kereta kesayangan saya, tetapi apa boleh buat, air masuk dalam kereta dari depan sampai belakang. Alhamdulillah, ramai yang bantu tolak kereta keluar dari kawasan parkir," katanya yang bekerja swasta dan tinggal di Taman Universiti di sini.

Bagi Nour Hashidah Fahruddin, 37, pula, dia selalu parkir kereta di kawasan itu sebelum menaiki kenderaan rakannya untuk bekerja di sekitar daerah ini.

"Ketika terima panggilan telefon memaklumkan kawasan ini dinaiki air, saya berada di Kampung Sinaran Baru, Kempas.

"Saya terus bergegas ke sini dan hanya mampu menangis sepanjang perjalanan kerana bimbang jika kereta ditenggelami air. Sebaik tiba, memang air sudah naik sehingga separuh kereta," katanya yang sudah menggunakan keretanya itu selama tujuh tahun.

Wanita itu berkata, pekerja di kawasan berkenaan pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila berlakunya banjir kilat.

Sementara itu, penjaga parkir berkenaan, Mega Siman, 51, pula memberitahu, dia selalu membersihkan beberapa longkang di kawasan itu yang tertutup dengan daun-daun kering.

"Saya memang biasa bersihkan longkang untuk pastikan air dapat turun dengan lebih lancar, namun kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, hujan semakin lebat sehingga kawasan ini ditenggelamkan air dalam sekelip mata.

"Saya terus menghubungi seorang pemilik kenderaan yang saya kenal dan minta dia beritahu rakan-rakan lain untuk mengalihkan kereta namun sudah terlambat," katanya yang bekerja di kawasan berkenaan selama dua bulan.

Hujan lebat hampir 2 jam menyebabkan banjir kilat dan lebih 100 kenderaan yang diletakkan rosak di Jalan Ayer Molek, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Hujan lebat hampir 2 jam menyebabkan banjir kilat dan lebih 100 kenderaan yang diletakkan rosak di Jalan Ayer Molek, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 5:52 PM