GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 20 Mac ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 416 ujian saringan dijalankan di kawasan berkenaan sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 21 kes positif Covid-19 direkodkan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan kes membabitkan penduduk di lokaliti terbabit.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan itu bermula 7 hingga 20 Mac ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 580 penduduk serta mengesan beberapa lagi kontak rapat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, perlaksanaan PKPD di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak ditamatkan esok seperti yang dijadualkan sebelum ini.

"Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 2,074 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,650 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal. Semua kes positif sudah menerima rawatan dan kontak rapat turut diasingkan dan dipantau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:25 PM