GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah akan tamat esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif direkodkan.

Katanya, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Tanah Merah pada 22 Mac 2021 seperti yang dijadualkan.

"Selain itu, KKM hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di daerah Keningau, Sabah.

"KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif harian secara mendadak di daerah ini dengan sebanyak 42 kes direkodkan hasil saringan secara bersasar di Kampung Lingkudau yang juga dilaksanakan PKPD," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Keningau, Sabah bermula 22 Mac hingga 4 April 2021.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:51 PM