Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah, susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 mendadak di kampung itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan bermula esok sehingga 9 Mei ini.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak enam kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh seminggu.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di lima lokaliti di Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada Selasa akan dilanjutkan sehingga 4 Mei ini.

Katanya, kawasan PKPD itu ialah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak.

"Pelanjutan ini susulan KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk dengan 22 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel menunggu keputusan.

"Setakat ini, sebanyak 107 kes positif direkodkan membabitkan kesemua lokaliti berkenaan hasil 2,077 ujian saringan yang dilaksanakan oleh KKM," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKPD di Penjara Tapah, Perak dan Kampung Meruntum, Putatan, Sabah ditamatkan seperti dijadualkan esok.

Katanya, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dengan kluster terkawal, malah semua kes positif serta kontak rapat juga diasingkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:29 PM