NOH melancarkan Koperasi Kipidap Malaysia Berhad. Turut serta, Abdul Rani. FOTO Rohanis Shukri
NOH melancarkan Koperasi Kipidap Malaysia Berhad. Turut serta, Abdul Rani. FOTO Rohanis Shukri
Suraya Roslan


Cheras: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus membantu rakyat dalam mengurangkan masalah kenaikan harga barang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, menyahut seruan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya koperasi memainkan peranan, pihaknya komited membantu ahli dengan menubuhkan Coop Mart.

"Koperasi adalah agensi yang cukup besar yang mempunyai keahliannya lebih tujuh juta orang dengan modal syer bernilai RM16.3 bilion, aset koperasi RM152 bilion serta pendapatan RM18.8 bilion.

"Kita tubuhkan Coop Mart supaya dapat memasarkan barang keperluan lebih murah daripada harga pasaran. Jadi kita berhasrat menubuhkan di semua 500 Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya yang menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi KIPIDAP Malaysia Berhad di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Kipidad Malaysia Berhad, Abdul Rani Kulup.

Katanya, Coop Mart akan diwujudkan di kawasan perumahan dalam bandar terutama di projek perumahan rakyat (PPR) dan rumah kos rendah supaya barangan dijual pada harga murah.

"Ketika ini kita sedang mengubah suai dua tempat untuk Coop Mart iaitu satu di Ampang dan Putrajaya, kedua-dua dalam kawasan PPR.

"Jadi kedai Coop Mart itu akan disiapkan dengan reka bentuk standard seperti kedai serbaneka (7-Eleven).

"Dalam usaha memastikan memastikan harga murah , ambil terus barang daripada pengeluar tanpa pembabitan orang tengah," katanya.

Noh berkata, berkenaan konsortium yang menggabungkan lebih 3,000 outlet runcit kelolaan gerakan koperasi negara, ia akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

"Ini berikutan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sendiri memiliki 400 kedai, jadi agensi itu akan menjadi induk.

"Sementara SKM pula mempunyai 2,500 kedai, UDA, Tekun juga bilangan tersendiri.

"Jadi, sekarang Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mahu membantu menggabungkan kesemua itu di bawah satu konsortium supaya ada identiti untuk membantu usahawan melalui pergerakan koperasi," katanya.

Ditanya mengenai bantuan yang terjejas akibat banjir, Noh berkata, secara keseluruhan pada peringkat awal SME Corp sudah mengenal pasti lebih 14,000 perusahaan yang mana mempunyai beberapa kategori bukan formal (gerai) , mikro, kedai industri kecil dan sederhana terjejas dengan banjir pada 18 Disember lalu.

"Ini memang sedang dalam peringkat kajian untuk mendapatkan perangkaan dalam usaha kerajaan untuk meringankan beban usahawan yang terjejas banjir ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:14 PM