Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa (tengah) beramah mesra dengan ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)  selepas ditemui pada Majlis Aidilfitri ANGKASA Peringkat Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa (tengah) beramah mesra dengan ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) selepas ditemui pada Majlis Aidilfitri ANGKASA Peringkat Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengenal pasti 4,000 koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di negara ini tidak aktif sejak beberapa tahun lalu.

Ia disebabkan berlaku masalah dalaman selain terdapat pimpinan koperasi yang meninggal dunia.

Pada masa sama, koperasi yang tidak aktif itu mempunyai aset termasuk bangunan, tanah, kilang serta ada juga terbeban dengan hutang.

Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa berkata, pihaknya akan tampil membantu kesemua koperasi berkenaan yang dikesan tidak aktif.

"Kita akan aktifkan balik koperasi berkenaan dengan garis panduan diberikan oleh SKM. Sebanyak 4,000 koperasi berkenaan dikesan tidak aktif dengan kebanyakannya di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Koperasi berkenaan bagaimanapun tidak boleh ditutup memandangkan memiliki aset seperti bangunan atau tanah serta kilang.

"Justeru tugas Angkasa adalah mengaktifkan semula koperasi berkenaan dan sekiranya terdapat tanah, kita akan bangunkan projek yang bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Angkasa Peringkat Kelantan, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan setiap negeri mampu mengaktifkan semula 10 koperasi di negeri masing-masing sepanjang tahun ini.

"Ikutkan semua kita mahu bantu sekali gus, namun kita pun berdepan kekangan dan perlu melakukannya secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 4:23 PM