Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Khairuddin A Rahim, hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor berkaitan dakwaan salah guna kuasa bagi projek penyelenggaran jalan di negeri ini.

Khairuddin mendakwa, terdapat unsur penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan dalam pengendalian projek penyelenggaraan jalan persekutuan dan bandaran di negeri ini yang kini dikendalikan syarikat konsesi dilantik kerajaan negeri.

"Saya mewakili kontraktor kelas F dan kontraktor kecil Bumiputera di Johor memohon SPRM menjalankan siasatan membabitkan penyalahgunaan kuasa berhubung pengendalian projek penyelenggaraan jalan persekutuan dan bandaran di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kepada syarikat konsesi," katanya.

Terdahulu, Khairuddin membuat laporan dan mengemukakan dokumen berkaitan kepada SPRM Johor berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Jamaluddin Puteh ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan dilakukan ADUN Senggarang berkenaan, 11.30 pagi tadi.

KHAIRUDDIN menunjukkan surat laporan. FOTO Zain Ahmed
KHAIRUDDIN menunjukkan surat laporan. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 3:44 PM