EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad. FOTO/AMIR MAMAT
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad. FOTO/AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri sedia mengkaji cadangan melantik syarikat konsesi menguruskan kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, perkara itu perlu diteliti secara lebih mendalam termasuk mengenai kaedah terbaik bagi memastikan semua kontraktor di negeri dapat merasa faedahnya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya masih mengamalkan sistem sebut harga bagi kerja penyelenggaraan jalan, sekali gus menepis dakwaan kononnya kaedah melantik syarikat konsesi sudah diamalkan sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kepemimpinan negeri.

"Pada tahun ini, sebanyak 330 kerja penyelenggaraan sudah dikeluarkan secara sebut harga oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri merangkumi kategori G1, G2 dan G3 membabitkan kerja pembaikan jalan, bangunan dan sebahagian mekanikal dan elektrik.

"Namun, pada masa sama kita tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan kaedah melantik syarikat konsesi di masa akan datang demi kebaikan, sama ada di peringkat kerajaan negeri melalui anak syarikatnya atau kepada kontraktor itu sendiri.

"Konsesi ini bukan asing lagi kerana ada beberapa negeri sudah mengamalkan kaedah itu untuk penyelenggaraan jalan negeri seperti Johor, Pahang, Perak dan terbaharu, Selangor. Jadi kita di Melaka mengambil pendekatan terbuka, sekiranya ada keperluan lebih baik konsesi dilaksanakan, kita akan laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Sofi Wahab (AMANAH-Durian Tunggal) mengenai kaedah menggunakan syarikat konsesi dalam projek di negeri ini bagi menjimatkan perbelanjaan, pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14, hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), sama ada kerajaan negeri mempertimbangkan kaedah cabutan undi seperti yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkaitan kerja penyelenggaraan, Roslan berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya ada keperluan pada masa akan datang.

"Jika diikutkan, proses cabut undi juga mempunyai kelemahan dan boleh dipertikaikan. Perkara ini dibangkitkan sendiri oleh persatuan kontraktor dalam perbincangan yang diadakan.

"Apa yang penting, lebih banyak kajian perlu kita lakukan dan kita beriltizam untuk mencari kaedah terbaik yang boleh memberi manfaat kepada semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 1:48 PM