Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor akan melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negeri ini yang sebahagian besarnya membabitkan daerah ini melalui peruntukan RM36.29 juta daripada kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, sejumlah RM12.1 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan persekutuan di daerah Johor Bahru manakala bakinya untuk daerah-daerah lain.

Bagi daerah Johor Bahru, jalan terbabit ialah di Lebuhraya Pasir Gudang membabitkan Seksyen 16-23 iaitu persimpangan Plentong-Seri Alam, Seksyen 10-12 di persimpangan Taman Perindustrian Tebrau-Taman Daya, serta Seksyen 0-2 di Tol Perling sehingga susur Skudai dengan keseluruhan kos sebanyak RM10 juta.

Katanya, kerja pembaikan di laluan sepanjang 11 kilometer akan bermula 15 Februari depan selama dua bulan dengan satu lorong ditutup.

"Selain itu, penyelenggaraan juga membabitkan jambatan Ulu Pengeli di Kluang yang rosak akibat banjir baru-baru ini dengan peruntukan RM400,000," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau Lebuhraya Pasir Gudang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Solihan berkata, antara punca Lebuhraya Pasir Gudang kerap mengalami kerosakan adalah berikutan kelemahan strukturnya.

"Saya meminta Jabatan Kerja Raya negeri untuk meneliti kerja kontraktor, selain pihak konsesi perlu memastikan wang kerajaan yang dibelanjakan adalah spesifik. Kita juga akan senarai hitam kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi kementerian," katanya.

KERJA kerja penyelenggaraan menampal lubang dilakukan di Lebuhraya Pasir Gudang.  FOTO ZAIN AHMED
KERJA kerja penyelenggaraan menampal lubang dilakukan di Lebuhraya Pasir Gudang. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:36 PM