Norasikin Daineh


SEORANG lagi pemilik syarikat kontraktor ditahan reman selama lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Perintah reman sehingga Khamis depan dikeluarkan oleh Majistret Cindy McJuce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini, kepada suspek berusia 60 tahun.

Prosiding dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin manakala suspek diwakili peguam Batholomew Jingulam.

Terdahulu, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, 7 malam semalam.

Pada Rabu lalu, SPRM menggeledah rumah suspek sebelum menemui wang tunai berjumlah RM1.6 juta.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Cindy turut memerintahkan empat suspek termasuk tiga pegawai JKNS yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari bermula esok.

Mereka terdiri daripada Ketua Jurutera JKNS berusia 58 tahun yang juga Pemangku Timbalan Pengarah dan dua lagi jurutera jabatan itu, masing-masing berudia 39 dan 37 tahun serta seorang lagi, pengarah syarikat berusia 48 tahun.

PEGAWAI SPRM membawa individu yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan projek-projek  Jabatan Keretapi Negeri Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
PEGAWAI SPRM membawa individu yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan projek-projek Jabatan Keretapi Negeri Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting

Keempat-empat mereka diwakili peguam Ronnie Cham, Sugumar Balakrishan, Luke Resa Balang dan Edward Paul.

Dengan perkembangan ini, SPRM sudah menahan reman lima suspek bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa JKNS.

SPRM sebelum ini mendedahkan bahawa wang yang dibekukan dalam siasatan kes itu adalah RM5.3 juta.

Jumlah itu meliputi wang tunai di peti keselamatan dan wang yang disimpan dalam beberapa akaun bank milik beberapa suspek.

SPRM juga memberitahu pihaknya sudah mendaftarkan kaveat untuk menyekat hak milik beberapa hartanah , termasuk rumah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah daripada ditukar milik.

Kebanyakan projek disiasat dalam kes itu berkaitan dengan penyelenggaraan landasan dan kereta api, termasuk peruntukan kecemasan dengan ada antaranya tidak dilaksanakan.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Berita berkaitan

Jumpa RM1.6 juta pula

Kenyang makan rasuah

Akaun + peti simpanan = RM5.3 juta

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 1:20 PM