Omar Ahmad


Pasir Gudang: Beberapa syarikat antarabangsa menunjukkan minat untuk membekalkan bas bagi Projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT).

IMBRT adalah sebahagian daripada peruntukan RM780 juta yang disalurkan kerajaan Pusat menerusi Belanjawan 2021 yang bakal beroperasi di Iskandar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, satu syarikat antarabangsa sudah menghantar model bas mereka untuk IMBRT ketika ini.

"Kami sudah menerima satu model bas. Saya dimaklumkan ada syarikat lain juga akan menghantar model bas mereka untuk kerajaan negeri lihat kesesuaian digunakan bagi IMBRT.

"Kerajaan negeri juga pada peringkat akhir mengeluarkan tender untuk reka bentuk stesen IMBRT," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja membaik pulih Lebuhraya Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Solihan, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti laluan dan penyelarasan untuk projek IMBRT.

Pihaknya akan mengadakan sidang akhbar khas untuk mengumumkan butiran lebih lanjut mengenai projek itu.

"Saya akan memberikan butiran lanjut kemudian mengenai projek ini," katanya.

Projek pengangkutan awam itu bertujuan mengurangkan kesesakan, merangsang ekonomi setempat dan mengurangkan kos sara hidup di kawasan bandar Johor Bahru terutama 90 peratus penduduk sekitar Iskandar Malaysia.

MOHD Solihan Badri meninjau kerja penyelenggaraan menampal lubang di Lebuhraya Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed
MOHD Solihan Badri meninjau kerja penyelenggaraan menampal lubang di Lebuhraya Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed

Untuk fasa pertama, sepanjang 51 kilometer laluan bas yang dibina itu dilengkapi 19 stesen membabitkan di Tebrau, 13 di Skudai dan tujuh di Iskandar Puteri.

Projek itu IMBRT adalah yang pertama di negara ini dan sebanyak 165 bandar raya di dunia sudah menggunakan sistem perkhidmatan berkenaan antaranya Jakarta, Paris, Seoul, New York, Istanbul, Brisbane, Guangzhou dan Zurich.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 3:51 PM