Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Seawal 3 pagi, kira-kira 30 sukarelawan Masjid Jamek Kampung Baru memulakan persiapan menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai ketika Ramadan.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata, seperti tahun sebelum ini, 15 periuk bubur lambuk akan dimasak setiap hari.

Katanya, proses memasak bubur yang menggunakan resipi tradisi sejak lebih 100 tahun lalu itu akan siap kira-kira 11 pagi semeblum dibungkus dan diedarkan.

"Sebanyak 3,500 bungkus bubur lambuk akan diedarkan secara percuma selepas solat Asar kepada jemaah yang datang ke masjid.

"Selain itu terdapat juga kaedah pandu lalu di hadapan pintu masjid bagi memudahkan orang ramai mengambil bubur tanpa perlu turun dari kenderaan," katanya kepada BH, hari ini.

Tinjauan di Masjid Jamek Kampung Baru mendapati proses memasak bubur lambuk berjalan lancar.

Mohd Khay berkata, masjid itu menggunakan antara lima sehingga enam tan beras sepanjang Ramadan untuk penyediaan bubur yang mempunyai keunikan tersendiri itu.

Katanya, bahan lain yang turut digunakan termasuk santan, udang, daging, rempah, bawang dan banyak lagi yang membabitkan kos RM350,000 sebulan.

"Kos menyediakan bubur lambuk kali ini meningkat kira-kira 25 peratus berikutan kebanyakan barangan sudah naik harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 4:10 PM
SUKARELAWAN menyediakan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. FOTO Asyraf Hamzah
SUKARELAWAN menyediakan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. FOTO Asyraf Hamzah