ANI dibantu anggota IPD Dang Wangi menggoreng sayur.
ANI dibantu anggota IPD Dang Wangi menggoreng sayur.
Rashidah Ibrahim


Mengambil kesempatan meraih sejuta keberkatan daripada amalan baik sepanjang Ramadan lalu, masyarakat Islam dilihat bersaing melaksanakan amal kebajikan mengikut kemampuan masing-masing.

Tanpa memikirkan soal untung rugi, mereka bermurah hati bersedekah dengan pelbagai cara. Semuanya mahu merebut ganjaran besar di sisi Allah SWT. Tidak terhad kepada pemberian wang ringgit, pakaian raya mahupun perbelanjaan dapur, niat bersedekah dilaksanakan dengan mengajak fakir miskin berbuka puasa serta bersahur.

Amalan sebegini memang cukup digalakkan kerana ia memberi pengaruh baik kepada peribadi individu dan masyarakat keseluruhannya. Tindakan bersedekah secara langsung menghakis sifat berkira di samping mempererat silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tidak ketinggalan menyertai acara bersedekah yang dianjurkan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) serta Hotel Royal Kuala Lumpur.

Menyediakan tempat memasak sebelum hidangan sahur diedarkan kepada orang awam, semua kerja berkaitan penyediaan makanan diuruskan Adabi sementara pihak hotel menaja minuman.

Menjelang jam 12 tengah malam, pekarangan IPD Dang Wangi berhampiran surau mula sibuk dengan kerja pemunggahan barang keperluan daripada trak makanan. Makanan dalam tin, perencah masakan, sayur-sayuran, beras, dapur, periuk dan kuali diturunkan secara gotong-royong. Kerjasama ramai sukarelawan program melancarkan perkara asas sebelum bermulanya kerja memasak.

Kurma ayam daripada tin dipanaskan dan dimasak semula dengan campuran bahan segar seperti cili besar dan bawang manakala sayur dimasak menggunakan campuran sos serta perencah keluaran Adabi.

Tidak kurang lima kuali sayur dimasak bergilir-gilir untuk melengkapkan menu 500 pek nasi putih yang disediakan malam itu. Setiap set berlaukkan telur goreng, ayam kurma dan sayur.

Kehadiran selebriti dan artis seperti Ani Mayuni, Watie Elite, Kelly Azman dan Fazli Zainal yang membantu petugas memasak menambah lagi kemeriahan suasana.

Tidak sampai dua jam, makanan dimasak selesai dibungkus sebelum diagihkan kepada orang ramai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan kawasan berhampiran.

Kebetulan lokasi pengagihan sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu mencari barang keperluan terakhir untuk beraya, ramai peniaga dan pengunjung tersenyum riang dengan pemberian kecil berkenaan.

Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Media Korporat, Roshidi Zabidi berkata, program sumbangan bubur lambuk dan makanan sahur dimasak panas adalah acara lumrah Adabi pada bulan Ramadan.

“Saban tahun, program ini diadakan secara bersiri di tempat terpilih. Ini adalah sebahagian daripada progran tanggungjawab sosial korporat kami dan akan diteruskan untuk tahun akan datang.

“Lazimnya, kita memang sibuk dengan program sebegini setiap kali Ramadan. Selain program syarikat, kita juga membantu pihak lain menerusi tajaan bahan makanan. Ada juga program yang kita sertai sebagai penaja dan ikut serta untuk memeriahkan acara,” katanya.

Dalam pada itu, Watie berkata, Ramadan biasanya diperuntukkan untuk menyertai kerja amal kerana tidak sibuk dengan kegiatan seni. Ia secara tidak langsung memberi ruang untuk artis sepertinya menggandakan amalan baik pada Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 10:44 AM