GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peminat bubur lambuk Kampung Baru akan dapat menikmati keenakan juadah tradisi berusia lebih 100 tahun itu apabila program edarannya diteruskan Ramadan ini.

Tahun lalu, program edaran bubur lambuk oleh Masjid Jamek Kampung Baru, tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi masjid itu Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelulusan menyedia, memasak dan mengedar bubur lambuk kepada orang ramai.

"Buat masa ini, kami hanya buat untuk pengagihan kerana berdasarkan maklumat daripada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) masih tidak membenarkan majlis berbuka puasa dilakukan di masjid," katanya.

Beliau berkata, tahun ini, pihak masjid membelanjakan lebih RM200,000 yang diterima daripada sumbangan orang ramai bagi penyediaan hidangan terbabit.

"Kami akan memasak minimum 15 periuk setiap hari sepanjang Ramadan ini, yang dilaksanakan secara gotong-royong membabitkan hampir 30 kariah masjid.

"Biasanya, untuk satu periuk kami peroleh hingga 190 bungkus bubur lambuk dan kami akan menggunakan 15 kilogram beras (kg), enam kg daging, enam kg santan, satu kg udang kering serta campuran rempah ratus," katanya.

Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru, Mohd Khay berkata, tiada rahsia tertentu di dalam penyediaannya.

"Kami menggunakan resipi turun-temurun dan tidak pernah merahsiakan bahan digunakan atau mengurangkan serta menambah ramuan. Mungkin keberkatan bersedekah kepada orang ramai membuatkan ia rasa sedap," katanya.

Pada masa sama, Mohd Khay yakin masyarakat boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang proses pengagihan dilaksanakan nanti.

"Kami tidak lihat penetapan SOP ini satu kesusahan kerana ia sudah menjadi amalan semua masyarakat sejak setahun lepas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 7:01 AM