GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerima laporan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi orang awam.

Ketua Unit Siasatan JPDP Rafiz Ismail berkata, pihaknya mendapat laporan semalam berhubung dakwaan kebocoran data 10 juta rakyat daripada senarai daftar pengundi pilihan raya.

Manakala, laporan berhubung dakwaan data 200,000 orang awam dijual menerusi platfrom e-dagang Ifmal pula diterima Sabtu lalu.

"Berkaitan kebocoran data 10 juta rakyat, kita sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia dikaitkan dengan mereka.

"Saya difahamkan SPR menerusi jabatan undang-undangnya sedang giat menyiasat perkara ini.

"Mungkin SPR yang akan mengeluarkan kenyataan nanti bagi menerangkan mengenai apa yang berlaku di sebalik dakwaan kebocoran data pengundi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai data dijual di platfom e-dagang, Rafiz berkata, JPDP masih giat menyiasat perkara itu dengan kerjasama pihak pengurusan Ifmal dan Cyber Security Malaysia (CSM).

"JPDP mendapatkan bantuan pihak yang dikaitkan dengan kenyataan itu dan CSM sebelum tindakan susulan dapat diambil," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima laporan membabitkan dakwaan portal terbabit, setakat ini.

Sebelum ini, dua portal berkenaan mendakwa kebocoran data 10 juta rakyat merangkumi nama, nombor kad pengenalan, alamat dan kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pengundi serta data 200,000 rakyat Malaysia termasuk nama, alamat, nombor telefon dan kad pengenalan dijual dalam pasaran e-dagang.

Bagaimanapun, Ifmal dalam satu kenyataan menerusi Facebook baru-baru ini, menafikan dakwaan portal itu kononnya berlaku kebocoran maklumat berpunca daripada mereka.

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah dan ianya satu cubaan untuk menipu, merosakkan nama baik dan kredibiliti sistem e-dagang Ifmal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 12:39 PM