KEBOCORAN maklumat yang mengandungi data sensitif pengguna mengundang keresahan.
KEBOCORAN maklumat yang mengandungi data sensitif pengguna mengundang keresahan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Minggu lalu, orang ramai dikejutkan dengan kebocoran maklumat pengguna penerbangan Malindo Air yang disebarkan di sebuah forum.

Maklumat berkenaan termasuk data sensitif pengguna seperti alamat, nombor pasport serta nombor telefon dan keadaan itu mencetuskan kebimbangan serta keresahan pengguna.

Bagaimanapun, Malindo Air mengesahkan mereka sudah menggunakan khidmat kepakaran CyberSecurity Malaysia (CSM) dalam membantu syarikat itu mengatasi masalah kebocoran data membabitkan maklumat peribadi penumpangnya.

Pengerusi CyberSecurity, Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata, syarikat penerbangan itu sudah mendapatkan khidmat agensi itu untuk melihat punca serta memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Malindo menggunakan khidmat CSM untuk membantu, tetapi biarlah mereka buat siasatan mereka, kita tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa siasatan analitikal dan tanpa membuktikannya secara forensik,” katanya.

Malindo Air memaklumkan mengenai kebocoran maklumat berkenaan selepas syarikat keselamatan siber berpusat di Moscow, Kaspersky Lab mendedahkan dalam satu laporan mengenai maklumat kira-kira 30 juta penumpang Malindo.

Pada Isnin lalu, syarikat penerbangan itu pada kenyataan berkata, kebocoran maklumat tersebut sudah dapat dibendung.

Hasil siasatan mendapati, dua bekas pekerja syarikat penyedia servis e-dagang, GoQuo (M) Sdn Bhd di pusat pembangunan mereka di India melakukan salah laku dan mencuri data peribadi pelanggan mereka.

Perkara itu dilaporkan kepada pihak polis di kedua-dua negara iaitu Malaysia dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 10:50 AM