Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais (tiga dari kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas daripada dua suspek lelaki yang disyaki melakukan pemerasan dan memiliki senjata api tanpa permit yang sah. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais (tiga dari kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas daripada dua suspek lelaki yang disyaki melakukan pemerasan dan memiliki senjata api tanpa permit yang sah. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Akibat perselisihan faham berkaitan hutang, seorang lelaki diugut tembak oleh dua kenalannya dalam kejadian di sebuah apartmen di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini, semalam.

Susulan kejadian pada 10.54 pagi itu, polis menahan dua lelaki berusia 27 tahun dan 34 tahun di hotel berhampiran Lebuh Victoria di sini, lebih sejam kemudian dan mereka direman lima hari hingga 13 Februari.

Polis turut merampas sepucuk pistol jenama Glock dan tujuh peluru hidup, dua pisau lipat, sekeping kad kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua pisau lipat dan 0.9 gram syabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat bapa mangsa yang bimbang keselamatan anaknya.

"Ketika kejadian, seorang daripada suspek turut menunjukkan pistol kepada mangsa berusia 30-an.

"Mereka berjaya ditahan dan pemeriksaan terhadap beg galas suspek 27 tahun (suspek pertama) menemui kad kuasa PDRM, pisau lipat, dan dadah, manakala pistol bersama peluru ditemui terselit pada pinggang suspek berusia 34 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Rahimi berkata, siasatan mendapati suspek pertama 11 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua tidak mempunyai kesalahan lampau.

Katanya, kedua-dua mereka bekerja sendiri itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan punca ugutan dikatakan berkaitan hutang.

"Polis juga masih menjalankan siasatan mengenai penemuan kad kuasa polis pada suspek," katanya lagi.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit sah selain Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 atas kesalahan memiliki peluru hidup tanpa permit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:39 PM