Rahimi menunjukkan foto senjata api yang dirampas. FOTO FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Rahimi menunjukkan foto senjata api yang dirampas. FOTO FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menahan seorang lelaki bersama sepucuk pistol dalam pemeriksaan di tepi jalan Lorong Hijau 5, Jelutong, di sini, baru-baru ini.

Susulan itu, seorang wanita yang juga kekasih suspek turut ditahan menerusi serbuan dijalankan secara berasingan di sebuah kondominium di Jalan Fettes, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 35 dan 30 tahun itu ditahan menerusi serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Pulau Pinang jam 10.30 malam, 3 November lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek lelaki menemukan sepucuk pistol jenis beretta brigadier bersama kelopak dalam milikannya.

"Turut dirampas ialah 11 butir peluru bersaiz sembilan milimeter, walkie-talkie, tiga telefon bimbit dan motosikal jenis Honda Wave.

"Berdasarkan senjata api yang dirampas, polis percaya kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan kes mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan, membabitkan seorang individu mati ditembak di sebuah flat Jalan Sungai Pinang pada 2019," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurut Rahimi, semakan rekod jenayah terhadap suspek lelaki mempunyai 14 rekod lampau membabitkan kanun keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Manakala suspek wanita yang bekerja sebagai tukang masak pula mempunyai satu rekod lampau membabitkan ADB 1952.

"Polis masih menjalankan siasatan mengenai tujuan milikan senjata itu atau sama ada mereka terbabit dengan kegiatan kongsi gelap.

"Kedua-duanya kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 berikutan memiliki senjata api tanpa permit yang sah serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:50 PM